Tuesday, July 16, 2019

SEDERHANA

Kita perlu bersederhana dalam segala hal.
Klise kan? Namun itulah yang sebaiknya.
Tidaklah layak untuk aku bercakap mengenai agama, tetapi kita semua sedia maklum akan akibat apabila ekstrem dalam beragama.
Lihat sahaja di sekeliling kita dan di persada dunia hari ini.
Apa sahaja yang keterlaluan, kesannya amat buruk.
Manusia dibekalkan emosi kan? Sudah tentu ada gunanya kepada kita dalam menelusuri hari.
Kunci kepada hari yang baik adalah apabila kita mampu bersederhana dalam mengemudi emosi itu.
Jika terlalu cinta, sukar melepaskan.
Jika terlalu marah, sukar meredakan.
Jika terlalu benci, mudah memakan diri.
Jika terlalu taksub, buta mata hati.
Jika terlalu takut, lumpuh segala fungsi.
Daripada pengalaman berusaha menurunkan berat badan, apabila terlalu ketat dan tegas dalam pemakanan dan rejimen senaman, kecenderungan untuk berhenti separuh jalan amatlah tinggi.
Ini kerana kita menidakkan rasa manusiawi untuk tenang-tenang dan menikmati perjalanan.
Dalam bab pemakanan, semua tidak boleh, reaksi akal, jadi apa yang boleh? Bengang, sakit hati, menyampah.
Gula tak boleh, garam tak boleh, minyak tak boleh, lemak jauhkan.
Senaman pula perlukah burpees 30 kali, lari 5km, zumba sejam?
Penat!
Maka bersederhanalah.
Makan apa sahaja, dalam kuantiti yang sedikit, belajarlah makan apabila lapar, bukan dengar dentingan jam, berlari kencang ke kafe untuk makan tengah hari.
Beri perhatian kepada isyarat yang dihantar oleh tubuh sendiri.
Pinggan suku suku separuh itu sememangnya sangat sederhana.
Ia tidak melebih, ia tidak kurang.
Just right, just nice.
Untuk kita yang baru bermula, cuba hadam dan praktiskan tips ini:
1.Mula dari mana dirimu berada. Jika kau hanya ada kasut Bata, pakailah kasut itu dan mulakan senaman.
Jika kau hanya ada beras biasa, ikan kembung dan sayur bayam, gunakalah sahaja bahan -bahan itu untuk memulakan makanan sihat.
Tidak perlu ketuk pintu Village Grocer untuk beli beras rebus, salmon dan zucchini.
2.Jika kau hanya mampu berjalan keliling blok, memakai kasut Bata mu sebanyak dua pusingan, lakukan itu sahaja, untuk 21 hari berturut-turut.
3.Ikuti fitness coach di media sosial, coach yang mempromosikan kesederhanaan dan yang memberikan tips yang mudah dan masuk akal. Tidak perlu mendekati Coach Senah atau Coach Jebon yang mengatakan kau hanya boleh makan telur selama sebulan dan berjoging sehari semalam untuk kurus dalam masa 5 hari.
4.Berguru. Berguru. Berguru.
5.Baca. Baca. Baca.
6.Tanya. Tanya.Tanya.
7.Praktis. Infiniti.
Buat yang termampu secara berterusan dan penuh sederhana untuk kehidupan yang berkualiti.

No comments:

Post a Comment