Pertama kali aku berjauhan dengan keluarga adalah ketika berusia 15 tahun, diterima untuk meneruskan Tingkatan Empat di Sekolah Teknik Tuanku Jaafar (STTJ), Seremban.
Pada awalnya, rasa keterujaan untuk menjalani hidup sebagai seorang pelajar asrama membuak-buak, melebihi rasa gembira apabila memperolehi keputusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) yang sangat membanggakan.
Untuk aku ketika itu, daripada pembacaan buku cerita dan novel, hidup di asrama adalah sesuatu yang sangat ‘cool’ kerana kau juga dipandang sebagai budak pandai yang cerah masa depannya apabila bersekolah di sekolah berasrama.
Walaupun ada perasaan gusar memandangkan ia pertama kali aku berpisah dengan keluarga, namun perasaan itu tenggelam dek rasa seronok yang tidak tergambar dengan perkataan.
Hari yang ditunggu telah tiba dan kami bergerak ke Seremban seawal paginya lagi.
Proses pendaftaran dan kemasukan berjalan lancar.
Terbeliak biji mata melihatkan saiz kawasan sekolah, padangnya sahaja sekali ganda lebih besar daripada padang sekolah lama aku.
Biarpun sedih semasa mengucapkan selamat tinggal kepada emak dan ayah selepas selesai pendaftaran dan taklimat, ku kuatkan semangat dan berbicara dengan diri yang ini adalah cabaran fasa baharu untuk aku.
Segalanya masih berjalan lancar, biarpun ada rasa pilu di sukma, sehingga membawa kepada waktu malam.
Justeru, bermulalah kisah rasa gamang aku setiap kali malam berlabuh di STTJ.
Atas desakan pelajar baharu yang lain, pelajar-pelajar senior membuka cerita-cerita angker yang dikatakan pernah berlaku di sekolah itu.
Cerita kakak super senior terjun tasik/lombong, kisah mambang main tenis pada waktu malam, hal pokok besar berhadapan aspuri dan banyak lagi.
Akibatnya, bermula pada malam itu, sebelum tidur menjadi rutin untuk kami merapatkan katil dua tingkat, dengan harapan dapat tidur lena.
Adakah aku dapat tidur lena setiap malam selepas itu?
Mungkin ada malam yang aku tidak sedar apa yang berlaku akibat kepenatan namun kebanyakan malam, berpuluh-puluh siri cerita hantu menerjah ruang fikiran.
Aku yang memang sedia penakut, menjadi terlebih penakut dan paranoid selepas malam pertama itu.
Malam-malam yang aku lalui di STTJ adalah antara memori yang aku cuba padamkan dalam ingatan.
Percubaan yang tidak berjaya sehingga ke hari ini.
No comments:
Post a Comment