Tuesday, July 16, 2019

NASI

Sudah beberapa kali ku cuba diet untuk tidak makan nasi aka diet atkins.

Percubaan kali pertama adalah sekitar tahun 2002, yang mana aku berjumpa dengan seorang doktor di sebuah klinik dalam usaha untuk menguruskan badan.

Doktor telah membekalkan pil untuk tahan selera makan dan berbincang denganku akan menu makanan yang perlu diikuti untuk dua minggu seterusnya.

Menu yang menyisihkan nasi.

Dua kali perjumpaan dengan doktor tersebut, aku berjaya mengurangkan sebanyak 7 kilogram.

Kemudian beliau mencadangkan senaman yang boleh dilakukan, menu yang masih tidak melibatkan nasi dan masih dibekalkan pil.

Semasa dalam proses 'penyeksaan', pernah sekali dua aku mengalami pening yang melampau semasa di dalam LRT yang sesak, badan menjadi seram sejuk dengan peluh mencurah-curah.

Bimbangkan kesihatan, ditambah dengan kebocoran poket (dua kali perjumpaan, terbang RM400) aku berhenti berjumpa doktor tersebut.

Maka, berat kembali ke asal dan lebih lagi.

Selepas itu aku berusaha menguruskan badan dengan memfokus kepada senaman di gim.

Pernahku menghabiskan masa hampir tiga jam di gim melakukan senaman kardio dan juga kekuatan, sehinggakan pemilik gim datang kepadaku bertanyakan khabar, dia sendiri risau.

Dalam masa yang sama, aku sedang dalam fasa 'jiwa kacau' seorang wanita single yang acah-acah bercinta kah kah kah.

Pada waktu ini, berat badan sangat 'cun' dan badan agak 'curvy' hasil daripada latihan bebanan yang dibuat.

Menu hidangan aku dalam fasa ini juga mengelakkan nasi, tetapi bihun dan mi masih lagi diambil.

Sungguh tiada ilmu langsung pada masa ini.

Kali ketiga aku cuba mengurangkan berat badan adalah sekitar tahun 2010, masih lagi mengelak nasi dan masih lagi bersenam beria-ia, tanpa ilmu yang betul.

Ya, aku berjaya mengurangkan lima kilogram dalam masa sebulan, namun sayang sekali, gagal mengekalkan pengurangan itu kerana sekali ku bedal nasi, maka selamanya aku akan terus makan, makan dan makan.

Ketika ini juga, langsung tiada ilmu.

Hari ini, ada yang bertanya setelah lama tidak bersua "Kau makan produk apa sampai kurus macam ni?'

Jawapanku mudah 'Makan nasi dua kali sehari.'

Sememangnya, nasi menjadi musuh utama kebanyakan orang yang mahu memulakan misi untuk sihat, sehingga ke hari ini pun.

Seringkali kita mendengar kata-kata yang nasi itu tidak bersalah.

Sememangnya, nasi itu tidak bersalah, yang salah dan patut dihukum jahit itu adalah mulut yang tidak tahu berhenti mengunyah.

Kih. Kih. Kih.

Faham sangat, kerana itulah aku dahulu.

Jadi, marilah kita makan nasi ya.

Paling penting, #sukusukuseparuh je.

Suku - Nasi, Suku - Protein, Separuh - Sayur

Mudah.

Tidak perlu produk atau pil yang membahayakan nyawa.

#julypostchallenge #july2019entries #nasi

No comments:

Post a Comment