Wednesday, July 31, 2019

BUDI

Orang kata, jangan selalu termakan budi, kelak tergadai body.

Serasa aku, aku adalah antara mereka yang sering menerima budi baik daripada orang sekeliling terutama para sahabatku.

Sungguh.

Hidup kita ini kan ada pasang surutnya, turun dan naiknya.

Ketika kehidupan aku berada pada tahap paling bawah daripada bawah, rock bottom, banyak budi yang aku terima daripada rakan-rakan.

Tengah bulan, duit sudah kering, bos usahakan advance.  Bos yang tanya aku, sebabnya dia seorang yang sangat memahami.

Tengah homeless (ya, nantilah cerita), ada kawan yang beri pakai duit, apabila aku nak bayar balik, dia halalkan sahaja.

Minyak kering, kereta mati tengah jalan, ada kawan yang pinjamkan duit untuk isi minyak.

Kereta meragam ketika dekat masa raya, ada saudara yang menghulurkan bantuan.

Tayar kereta pecah, ada kawan yang datang selamatkan.

Kereta masuk bengkel berbulan-bulan, ada kawan yang tumpangkan ke pejabat dan balik rumah.

Banyak lagi kisah aku termakan budi orang lain.

Mereka inilah inspirasi kepada aku untuk menanam budi kepada mereka yang memerlukan pula.

Doa aku sentiasa untuk mereka.

#julypostingschallenge #july2019entries #budi

MATA

Ketika berusia 4 tahun, anakku #PengIlham2019 pernah mengalami kecederaan di bawah matanya.

Ketika sedang menunggu aku untuk habis bertugas petang itu, dia berlari-larian di kawasan lobi pejabat.

Kakinya tersadung dan Ilham terjatuh, menyebabkan luka yang agak dalam  di bahagian kiri matanya.

Darah yang mengalir sangat banyak, aku dan #brother sangatlah panik ketika itu.

Ilham sendiri tidaklah menangis meraung-raung, cuma merengek-rengek sahaja.

Kami segara membawa dia ke klinik untuk menerima jahitan. 

Semasa doktor menjahit di bawah matanya juga dia tidak menangis.

Kuat anak aku. Mama dia yang lembik.

Tinggallah parut di bawah mata sebagai kenangan dan peringatan supaya sentiasalah berhati-hati.

#julypostingschallenge #july2019entries #mata

KAYA

Semasa bersekolah rendah, definisi kaya bagi aku adalah mereka yang boleh membeli air milo kotak, naik bas atau van untuk ke sekolah dan memakai riben dan pengikat rambut yang cantik.

Berbanding dengan aku yang tidak mampu membeli air kotak pujaan hati itu, ke sekolah berjalan kaki, balik sekolah juga berjalan kaki dan rambutku dipotong pendek seperti lelaki kerana ada masalah kutu.

Definisi kekayaan daripada kacamata budak setinggan berusia tujuh tahun.

Semasa aku di sekolah rendah, memang sekalipun tidak dapat merasa membeli milo kotak daripada van milo yang datang ke sekolah.

Bukan tidak pernah cuba minta daripada mak dan ayah, pernah, cumanya tidak pernah dapat wangnya.

Kawan-kawan yang aku anggap 'kaya' pun sebenarnya tidak jauh beza daripada kami, iyalah kan, kami pun tinggal satu kawasan setinggan juga, cuma mungkin adik-beradik mereka tidak seramai adik-beradikku.

Sahabat-sahabat kaya aku ini pun tidaklah sombong atau tidak mahu berkawan dengan aku si budak miskin rambut berkutu.

Mereka tetap menghulurkan persahabatan dan adalah sekali dua menghulurkan air Milo kotak itu untuk aku rasa.

Semasa kecil, kaya atau miskin, kami tetap berkawan.

Cuma apabila sudah tua bangka ini, kaya bersahabat dengan yang kaya, miskin pun mahu bersahabat dengan yang kaya. Ke?

#julypostingschallenge #july2019entries #kaya

SELENDANG

Aku ada seorang kawan, perempuan Minang.

Perempuan Minang kan biasanya kasar dan berterus-terang. (FYI mak aku Minang)

Kawan aku ini, memanglah kasar namun dia ada sedikit kelainan kerana dia juga seorang yang aku boleh katakan sebagai alim jugalah.

Pada suatu hari (circa 2009), dia bercerita kepadaku mengenai seseorang yang dia kenali, dan dia mahukan pendapat aku.

Katanya, dia mempunyai seorang kawan yang tidak menutup aurat yang sempurna dan kawanku ini berasa segan mahu menegur.

Aku tanya, tidak sempurna bagaimana.

Katanya walaupun memakai hijab tetapi selendang yang dipakai itu jarang sehingga kadangkala menampakkan telinga dan bahagian lehernya.

"Akak rasa apa perlu saya cakap pada dia?"

Jawabku "Cakaplah baik-baik dengan dia, mungkin dia sendiri tak perasan yang selendang itu menampakkan telinga dia."

Dan kawannku ini pun mengangguk dan mengucapkan terima kasih kepadaku, bermakna dia bersetuju untuk cakap baik-baiklah dengan kawannya itu.

Hari aku berjalan seperti biasa selepas itu.

Sampai di rumah selepas habis kerja, semasa mahu menanggalkan selendang di depan cermin baru aku tersedar, sebenarnya kawan aku itu bercakap tentang aku.

Kah kah kah.

Rare tak ada kawan macam ini?

#julypostingschallenge #july2019entries #selendang

LARI

Seingat aku, kali terakhir aku benar-benar 'enjoy' berlari adalah semasa sekolah rendah untuk permainan rounders, polis sentri (police and thief) dan kejar-kejar (satu pejabat aku tanya, apa nama permainan ini, semua pun lupa).

Semasa di sekolah menengah, aku paling tidak suka semasa pendidikan jasmani cikgu menyuruh kami berlari satu padang untuk memanaskan badan, al-maklumlah, aku kan berbadan besar, segalanya besar, jadinya terasa malu ya amat apabila terpaksa berlari.

Masa yang aku suka berlari hanyalah apabila bermain bola jaring kerana waktu ini memang tidak fikir perasaan segan atau malu, memandangkan aku kan kiasu, jika bertanding wajib mahu menang.

Bukan setakat berlari ke sana ke mari sahaja aku mampu, melompat tinggi mencuri bola pun aku boleh, walaupun badan dikira besar juga waktu itu.

Dalam usia 44 tahun ini pula, tidaklah mampu lagi berlari laju dan melompat tinggi seperti di sekolah menengah disebabkan saiz badan dan lutut yang tidak mengizinkan, yang mampu kubuat hanyalah berjalan laju dan berlari perlahan (slow jog).

Dan sesungguhnya aku kagum kepada mereka yang masih boleh berlari walaupun usia sudah lewat.

Salute!

#julypostingschallenge #july2019entries #lari

KERTAS

Akibat sekeping kertas bernama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mataku bengkak menangis dari Seremban ke Kuala Lumpur.

SPM tahun 1992 merupakan salah satu kisah sedih aku dalam bidang akademik.

Kawan-kawan lain cemerlang dengan Pangkat Satu yang menjamin tempat ke isntitusi pengajian tinggi, aku hanya mampu mendapat Pangkat Tiga.

Nasib badan. 

Sekeping kertas yang berjaya membuatkan aku berasa amat baghal, walhal aku adalah antara pelajar cemerlang semasa peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran semasa di Tingkatan Tiga dahulu.

Disebabkan sekeping kertas ini jugalah menjadikan aku tekad untuk meneruskan pengajian di Tingkatan Enam, biarpun dimomoki dengan kata-kata yang ia adalah lebih sukar.

Jauh di sudut hati, aku mahu membuktikan yang aku tidak bodoh hanya kerana aku mendapat keputusan Pangkat Tiga.

Dan disebabkan sekeping kertas itu jugalah, aku berjaya berada di sini.

Besar sungguh ya pengaruh sekeping kertas.

#julypostingschallenge #july2019entries #kertas

Monday, July 22, 2019

CERTOT: RASA GAGAL


Minggu lepas, menerima mesej yang dihantar dalam kumpulan Whatsapp sekolah agama #PengIlham2019.

Berderau darah.

Tiga gambar anak-anak berpakaian seragam sekolah agama (muka dikaburkan) seperti sedang disoal siasat oleh seorang anggota polis.

Kesnya: hisap vape.

Guru besar minta ibu bapa sentiasa cakna dengan aktiviti anak-anak, ambil peduli dengan apa yang mereka lakukan.

Terusku mesej ustaz kelas Ilham.

Adakah anak aku terlibat?

Walaupun jawapan ustaz melegakan, I still felt like a loser.

Kau faham tak rasa itu?

#julypostingschallenge #july2019entries #certot

Friday, July 19, 2019

HADIAH YANG BERTUAH

Apa nak cerita mengenai hadiah ya?

Sungguh tiada idea.

Hadiah terakhir yang aku terima adalah apabila kumpulan treasure hunt yang aku sertai 'Srikandi Hunters' memenangi tempat ketujuh semasa acara All Ladies Treasure Hunt ke Melaka pada bulan Mei yang lalu.

Kami masing-masing memenangi sebuah circulation fan.

Sebelum itu, aku bertuah memenangi wang tunai dalam pertandingan yang dianjurkan oleh restoran makanan segera MarryBrown.

Antara hadiah lain yang aku pernah menangi adalah wang tunai cabutan bertuah Grab, cabutan bertuah sepasang kasut, memenangi kredit telefon dari Altel selama setahun, wang tunai dari Zurich Insurance, penginapan percuma di hotel dan bengkel mekap.

Sekitar tahun 2009-2010 aku pernah mendapat tempat pertama pertandingan bersempena sambutan Hari Bapa yang mana para peserta perlu menulis kenangan bersama bapa mereka.

Hadiah yang aku menangi bernilai kira-kira RM1,500, jumlah terbesar setakat ini.

Suka dapat hadiah kan?

Best feeling ever!

He he he.

#julypostingchallenge #july2019entries #hadiah




Thursday, July 18, 2019

SAHABAT BALA

Ada satu cerita.

Dua sahabat rapat, sekepala.

Segala rahsia dikongsi bersama.

Perihal diri dan rumahtangga.

Berpuluh-puluh purnama berkongsi rasa.

Hendak dijadikan cerita, si kawan A bakal berpindah tempat kerja.

Tuhan tunjuk hakikat perkara.

Yang si kawan B sudah menjaja-jaja.

Segala cerita yang dikongsi bersama.

Aiseymeng, otak berjambul kepala mereng.

Senyum di bibir, manis di muka,

Bukanlah janji ketelusan di jiwa.

Si kawan A bersegera,

Memutuskan perhubungan segala,

Gila!

Buat apa berkawan kalau begitu gayanya.

Itulah cerita,

'Sahabat' khianat dari neraka.

Bala. Bala.

#julypostingchallenge #july2019entries #sahabat

Wednesday, July 17, 2019

BUNGA

Mat Bunga atau Minah Bunga dikatakan lelaki atau wanita yang berjiwa romantis.

Dalam hati ada taman, orang kata.

Pada aku, Mat dan Minah Bunga ini mempunyai karekter yang lemah-lembut, manja, bertutur dengan nada suara yang rendah.

Aku memang suka melihat bunga kerana warnanya yang pelbagai dan menarik, namun tiada siapa pun yang boleh melabelkan aku sebagai Minah Bunga.

No. One. Ever.

Ramai yang menganggap, perempuan sangat sukakan bunga dan mereka gembira jika orang lelaki hadiahkan bunga kepada mereka.

Teet!

Tak semua.  Ramai juga wanita yang lebih suka jika mereka dihadiahi coklat atau makanan berbanding bunga.

Apa boleh buat dengan buat? Sekadar wangi-wangi dan kemudian layu.

Jika ada makanan, haaa, kenyang perut, suka hatilah.

UNDIAN:

Antara bunga dan makanan, wanita pilih yang mana?

#julypostchallenge #july2019entries #bunga
Bunga ini hadiah daripada seorang pelatih industri yang pernah menjalani latihan di unit tempat aku bertugas.