Masakan yang sangat ringkas, cepat dan mudah.
Kami pernah menerima tetamu dari Brunei yang menginap selama tiga hari di rumah. Mereka sungguh-sungguh memuji sambal ikan yang Mak masak.
Katanya di Brunei tiada hidangan seperti itu, terkejut juga kami dibuatnya.
Bagi keluarga kami sambal ikan dan sambal ayam adalah hidangan yang wajib dimasak setiap minggu, sehingga 2-3 kali seminggu.
Hidangan pembuka selera yang amat mudah disediakan.
Asasnya adalah cili kering yang setelah digunting, direbus dan dikisar dengan bawang putih dan bawang merah.
Ikan yang biasa Mak gunakan adalah ikan kembung, sardin dan cencaru.
Saya paling suka sambal ikan sardin segar, tak tahu kenapa, pada saya rasanya lebih sedap.
Sambal digoreng di dalam kuali dan kebiasaannya minyak yang digunakan agak banyak.
Bahan lain yang dimasukkan adalah asam keping dan sambal digoreng sehingga agak kehitaman.
Setelah itu, ikan yang telah digoreng digaulkan dengan sambal yang sudah siap dimasak, sudah tentulah sebelum itu Mak memasukkan garam dan ajinomoto.
Hari ini apabila saya memasak sambal ikan atau ayam, saya akan kisar juga serai selain memasukkan sebatang dua serai yang dititik semasa memasak cili itu.
Selain dimakan dengan nasi, saya suka juga memakan sambal ikan atau ayam ini dengan roti atau dibuat cicah cucur ikan bilis ataupun cucur bawang.
Atas kesedaran, saya tidak lagi menggunakan ajinomoto atau perisa di dalam sambal saya, jadi rasanya mungkin tidak sesedap sambal yang Mak sediakan.
#augustblogpostchallenge
No comments:
Post a Comment