Monday, August 5, 2019

Apa Yang Saya Lakukan Ketika Marah: Tumbuk Dinding?

Orang kata anak ketiga memegang unsur api dan disebabkan inilah mereka biasanya panas baran.

Saya tidak pasti sejauh mana kebenarannya, tetapi ya saya merupakan anak ketiga dan seorang yang panas baran.

Sifat kepala angin saya warisi daripada ayah yang memang digeruni oleh kami adik-beradik semasa kecil.

Semasa sedang membesar, apabila saya marah, jeritan dan hentakan kaki menjadi identiti, namun disebabkan saya juga seorang yang bersifat 'timid' dan introvert, maka ekspresi marah itu tidaklah teruk mana sebenarnya.

Setelah dewasa, luahan rasa marah dilakukan dengan membaling barang-barang yang ada berdekatan dengan saya, jika tiada saya menumbuk meja atau dinding.

Apa saya rasa setelah itu? Lega dan sakit ha ha ha.

Ketika saya aktif melakukan senaman di gim, rasa marah saya simpan dan diluahkan dengan melakukan senaman berjam-jam lamanya.  Saya menari, berlari di atas mesin treadmill, mengayuh basikal statik dan mengangkat beban sehinggalah rasa marah itu reda dan saya berasa gembira.

Sikap panas baran ini saya berjaya jinakkan sedikit ketika bertugas mengajar tuisyen kepada anak-anak sekolah rendah dan menengah sekitar tahun 1998 sehinggalah tahun 2010.

Ya, saya bersyukur dengan pengalaman ini kerana saya belajar mengawal amarah dan mendidik kesabaran dalam jiwa.

Kalaupun saya marah, paling ekstrem saya meninggikan suara dengan muka bengis sehinggakan ada anak murid yang menangis kerana terkejut.

Setelah menjadi isteri, api amarah di jiwa sepatutnya semakin terkawal kan? Oh tidak, kerana ia seolah-olah mengganas semula.

Apa sahaja yang saya tidak buat apabila marahkan suami, cuma saya tidak akan ceritakanlah di sini.
Anak saya terang-terang mengatakan saya mak singa kerana terlalu garang, selalu sahaja pertanyaan 'Kenapa Mama marah-marah ni?' keluar daripada mulutnya.

Hari ini apabila saya marah, saya menggenggam kedua-dua belah tangan, memejamkan mata dan menggetap gigi sekuat-kuatnya.

Itu marah tahap satu.

Ekspresi marah tahap dua saya adalah menumbuk meja atau dinding atau menjerit 'on top of my lungs'.

Saya tidak tahu apa ekspresi marah tahap tiga kerana belum pernah terjadi dan saya berdoa dengan sepenuhnya tidak akan terjadi.

Ya. Saya maklum perlu belajar menguruskan kemarahan dengan cara yang lebih baik, saya sedang berusaha ke arah itu.

#augustblogpostchallenge

No comments:

Post a Comment