Monday, August 5, 2019

Rancangan Untuk Tahun Ini: Berlari dan Berbengkel

Awal tahun ini, hati saya membuak-buak untuk mempelajari satu kemahiran baharu.

Tahun baharu, azam baharu punya cerita.

Apabila saya memberitahu suami yang saya mahu belajar menjahit, dia tenung muka saya.

Ha ha ha sesungguhnya dia hairan, isterinya yang kasar dan tidak berseni ini mahu belajar satu kemahiran yang memerlukan satu bentuk kesabaran yang tinggi.

Namun ya, saya memang teringin belajar menjahit dan berangan-angan satu hari saya mampu menjahit pakaian sendiri.

Banyak boleh jimat serasa saya dan apabila benar-benar mahir saya boleh mengajarkan kemahiran itu kepada orang lain.

Ha kan, boleh menjadi aliran pahala di situ.

Hari berganti, bulan bertukar, namun tiada tindakan positif daripada saya untuk merealisasikan hasrat itu.

Suatu hari sekeping kertas telah diselitkan ke pintu pagar rumah kami.

Iklan kursus-kursus kemahiran jangka pendek yang ditawarkan di Giat MARA yang terletak bersebelahan kawasan flat kami.

Dan ada kursus jangka pendek untuk menjahit!

Hati sudah berbunga dan saya sudah nekad untuk mendaftar.

Akhirnya, terlaksana juga hasrat untuk belajar menjahit untuk makcik berusia 44 tahun ini.

Tapi, syaratnya adalah perlu dilakukan sepenuh masa kerana kelasnya setiap hari dari pagi hingga petang.

Aduhai, kecewa rasanya hati.

Akhirnya keinginan untuk mengikuti kelas jahitan mati di situ sahaja.

Sebagai gantinya, saya mengajak suami dan anak untuk menyertai larian yang sering dianjurkan di Lembah Kelang ini.

Tujuannya bukan sahaja melakukan aktiviti sihat dan menghabiskan masa kualiti bersama, tetapi juga memberikan pendedahan kepada anak kami terhadap aktiviti luar bersama anggota masyarakat selain mengumpul sijil untuknya.

Mungkin juga berguna untuknya pada masa akan datang.

Saya sendiri menetapkan untuk tahun ini kami sekeluarga perlu berusaha memasuki lima larian.

Sehingga catatan ini ditulis, kami berjaya menyertai dua larian dan telah mendaftar untuk satu lagi larian pada September nanti.

Berbaki dua lagi larian, InsyaAllah.

Selain itu, saya juga berhasrat mengikuti bengkel dan acara luar sebagai satu usaha untuk memperbaiki diri dan meluaskan rangkaian.

Seawal tahun saya telah menyertai bengkel tentang diet Intermittent Fasting bersama Coach Zack.

Saya juga menjadi antara peserta setia untuk program kecergasan enam minggu yang dianjurkan oleh coach kecergasan saya, Coach Kakcik untuk beberapa siri.

Selain itu saya telah mendaftar untuk menyertai perkongsian mengenai kesihatan dan penyakit mental yang dianjurkan oleh sebuah dewan perniagaan baru-baru ini, namun tidak dapat menghadirinya kerana bertembung dengan satu acara larian.

Setakat hari ini, saya telah mendaftar untuk satu acara berkaitan penulisan dan satu lagi bengkel belajar bahasa isyarat.

Saya akan terus mencari acara dan bengkel yang boleh disertai untuk tahun ini bagi menambah pengetahuan, InsyaAllah.

#

No comments:

Post a Comment