Sunday, August 4, 2019

Filem Yang Memberikan Kebahagiaan


Saya belajar memahami Bahasa Inggeris dengan menonton rancangan TV luar negara seperti BJ and The Bear, Remington Steel, Hart To Hart, The A-Team, High Chaparal, Little House On The Prairie dan Manimal antara lainnya.

Disebabkan program yang saya minati seperti yang disebutkan di atas kebanyakannya ditayangkan lewat malam, sering jugalah saya tidak cukup tidur, namun pada waktu itu, saya bebas untuk tidur jam berapa pun, asalkan esoknya saya boleh bangun untuk ke sekolah.

Selain program luar negara, saya juga teruja menonton cerita-cerita wayang yang disiarkan di kaca televisyen ketika itu, cerita-cerita P.Ramlee jangan ceritalah, memang sentiasa ditunggu-tunggu siarannya.

Minat saya ini juga menyebabkan saya adalah orang pertama yang akan membuka suratkhabar untuk melihat senarai rancangan TV pada hari itu.

Boleh dikatakan secara tidak langsung, keterujaan terhadap program dan drama televisyen menyuburkan minat saya terhadap bacaan.

Kesukaan menonton ini terus subur sehingga dewasa.

Masih lagi gemar menonton drama dan program luar negara, di samping produksi tempatan, ditambah dengan genre baharu iaitu video muzik dan juga filem.

Tidak seperti kebanyakan orang lain, saya menonton filem untuk suka-suka, merehatkan minda dan hiburan semata-mata, tidak terfikir langsung untuk mengkaji dan mendalami mesej yang cuba disampaikan.

Disebabkan ini saya lebih suka menonton filem aksi, komedi, thriller dan sekali-sekala filem seram.
Tidak juga seperti kebanyakan orang lain, saya boleh sahaja pergi menonton filem di panggung bersendirian, tanpa perlu ada peneman, atas sebab yang sama: bagi merehatkan minda.

Saya sendiri tidak ingat berapa banyak filem yang sudah ditonton sehingga kini, cuma hari ini saya ingin bercerita tentang salah sebuah filem yang memberikan kebahagiaan yang indah kepada saya iaitu ‘School of Rock’.

Filem lakonan Jack Black ini mengisahkan tentang seorang penganggur yang meminati muzik genre rock menyamar sebagai kawan baiknya untuk bekerja sebagai guru gantian di sebuah sekolah.
Nah, sebut sahaja nama Jack Black, umum maklum yang beliau dikenali sebagai pelakon komedi yang ekspresif, selain berkebolehan bermain alat muzik dan menyanyi.

Kenapa saya bahagia menonton filem ini? Sebab bagi saya, semua rencah ada bagi menyedapkan ceritanya: komedi, muzik dan motivasi.

Berkali-kali sudah saya tonton School of Rock ini dan berkali-kali juga saya tertawa tidak kering gusi.

Babak yang menjadi kegemaran adalah apabila Dewey Finn lakonan Black pertama kali mengajarkan chord lagu rock kepada pelajar-pelajarnya yang lebih mahir dengan muzik klasik.

Filem ‘feel good’ tahun 2003 ini berjaya mengaut sebanyak $131 juta seluruh dunia, dengan bajet pembikinan sebanyak $35 juta.

Jack Black juga mendapat pencalonan untuk Anugerah Golden Globe bagi kategori Aktor Terbaik – Komedi atau Muzikal melalui filem ini.

Biarpun beliau kalah di tangan pelakon komedi veteran Bill Murray, impak yang dicipta daripada watak Mr S terutama terhadap saya (yang pasti pecah perut setiap kali menontonnya) adalah lebih berharga dan berkekalan.

Saya seorang yang ‘simple’, saya sukakan filem yang juga ‘simple’. Being simple gives me utmost pleasure.

#augustblogpostchallenge 

No comments:

Post a Comment