Wednesday, July 10, 2019

COKLAT

Semasa di sekolah berasrama, pada waktu zamanku (circa 1991-92), jika ada yang menyukai seseorang, cara untuk 'meluahkan rasa' adalah dengan mengirimkan coklat bar (biasanya Cadbury) kepada orang yang diminati itu.

Pada usia itu, sememangnya aku hantu coklat dan semua yang bercoklat, kek, aiskrim dan biskut. 

Setiap kali outing, pasti kubeli satu atau dua coklat bar.

Dan setiap kali pulang dari kampung (dalam kes aku, Kuala Lumpur) pasti ada coklat bar dalam stok, selain buku-buku #millsandboon

Paling aku suka coklat yang ada badam. Memang menggetar kalbu.

Sepanjang dua tahun bersekolah asrama di Seremban, langsung tiada menerima 'pengakuan bercoklat' daripada sesiapa.

Eh, ada, cuma ia bukanlah pengakuan tetapi ucapan terima kasih, atas sebab apa, aku sendiri lupa. 

Setakat itu sahaja memorinya.

Perkara yang pasti, aku dapat makan coklat yang sangat sedap.

Pada usia sebegini dan dalam situasi ini (berusaha mengurangkan berat badan), aku lebih menggemari dark chocolate, itu pun jarang-jarang makannya.

Yang selalu dinikmati adalah brownies.

Itu memang tiada kompromi, nak kurus ke nak gemuk ke, setiap minggu wajib makan brownies.

Coklat juga.

Coklat sedap lah!

 #julypostchallenge #coklat

Tuesday, July 9, 2019

MoJo - Mobile Journalism

8-Julai menghadiri kursus Mobile Journalism (MoJo) oleh Syed Ilyia, seorang wartawan BERNAMA.

Hasilnya aku sangat teruja untuk membeli peralatan yang beliau tunjukkan.

Haa..sedia sahajalah duit. Berikut adalah hasil daripada kursus dua hari tersebut:

VLOG

#julypostchallenge

HUJAN

Semasa kecil, musim hujan adalah kesukaan.

Kami tinggal di kampung setinggan yang berbumbungkan zink jadi apabila hujan ritma titisan air langit itu sungguh mendamaikan.

Cuma, aku hairan pada usia itu, mengapa hujan dilabelkan sebagai cuaca buruk, tidak elok.

Seronok apa hujan, sejuk, damai, sedap untuk tidur atau bergolek-golek depan TV.

Namun aku tidaklah bertanya kepada sesiapa, aku simpan sahaja rasa hairan itu.

Sehinggalah aku ke sekolah menengah (ya, seorang yang lambat pick up), guru Bahasa menjelaskan mengapa ia dikatakan 'cuaca buruk'.

Hari ini, pemahaman aku tentang hujan masih sama seperti zaman kanak-kanak.

Hujan best!

 #julypostchallenge #hujan

Monday, July 8, 2019

BUKU

Menjadi impian seorang penulis untuk merakamkan karya di dalam sebuah buku.

Salah satu tujuan aku kembali ke organsasi sekarang, setelah enam tahun meninggalkannya adalah kerana mahu terus menajamkan kemahiran menulis agar karya dapat dimuatkan dalam sebuah buku. 

Dan pada 2015, hasrat itu berjaya direalisasikan.

Ia merupakan satu langkah kecil yang kuharap dapat membawa aku kepada matlamat yang lebih besar.

Sedetik.doc terbitan Metromedia Solutions merupakan sebuah himpunan karya 50 orang penulis yang mana karyaku 'Kotak Merah Jambu' turut dimuatkan.

Perasaan sebak dan tidak percaya apabila buku itu berjaya menemui khalayak.

Hajat di hati, setiap tahun mahu merakamkan satu kisah dalam sebuah buku, namun masih tidak mampu dipenuhi.

Aku masih belum benar-benar yakin untuk menulis sebuah buku sendiri kerana merasakan ilmu masih cetek, mahu menimbanya pula malas, ditambah dengan tuntutan kerja dan keluarga.

Dan pada awal tahun ini, sebuah lagi karya berjaya diterbitkan dalam Projek Lavender 2: Catatan Tentang Reda.

"Semangat Seorang Mama" merupakan karya penghargaan dan tanda ingatanku terhadap ibu mertua yang merupakan seorang pejuang kanser.

Semoga tahun 2020 akan ada sebuah lagi karya dapat dimuatkan dalam mana-mana buku.

InsyaAllah.

 #julypostchallenge #buku

NAMA

Kisahnya begini.

Emak dan ayah menamakan aku Murni.

Ringkas dan mudah diingati.

Menurut Maklang, semasa aku dilahirkan ada satu majalah bertajuk 'Murni', jadi mungkin dari situ ayah mendapat ilham untuk menamakan bayinya.

Namun dalam kalangan keluarga terdekat, mereka memanggil aku dengan nama lain.

Menurut teori arwah pakcik (Al-Fatihah untuk Acik Aman), aku dipanggil dengan nama itu kerana saiz semasa bayi yang sangat tembam.

Aku tidak pernah cuba mengesahkan teori ini.

Semasa bersekolah di Teknik Tuanku Jaafar ada kawan-kawan yang panggil Min kerana nama pena semasa berkarya adalah Urmin Asrin (alahai budak-budak sangat).

Sekarang aku lebih dikenali dengan panggilan Moon.

Awal 2000 aku sangat aktif chatting dan YMing dan lazimnya ketika itu, mereka yang menyembang ini menggunakan nama gelaran, jarang (mungkin tidak pernah langsung) menggunakan nama sendiri.
Dan pada waktu itu, diri sangat kagum dengan anime Sailor Moon.

Jadinya terus terfikirkan nama gunaan overd_moon.

Dan nama itu melekat sehingga kini.

Oh ya dulu nama blog aku The Moon and The Stars (ya, 'original' sangat).

Itulah kisahnya sebuah nama.

 #julypostchallenge #nama

MIMPI

Antara mimpi yang paling aku ingati sehingga ke hari ini ialah duduk bersebelahan Jon Bon Jovi di dalam satu penerbangan.

Dia berbual dalam bahasa Melayu denganku.

Aku juga pernah bermimpi bersembang dengan Jet Li, juga dalam bahasa Melayu.

Selain itu, mimpi tentang isteri mantan perdana menteri juga masih kuingati sehingga ke hari ini, bukan sebab aku peminatnya (seperti Jon Bon Jovi dan Jet Li) tetapi kerana mimpi itu terlalu 'bizarre'.

Selepas nenek kesayangan aku meninggal dunia, aku mimpikan dia, mengajak aku menemaninya tidur dan apabila aku katakan terpaksa juga pulang kerana ada peperiksaan, jelas wajahnya sayu.

Berjumpa Jet Li atau Jon Bon Jovi belum lagi menjadi kenyataan, ada rezeki, mimpi ini boleh sahaja menjadi nyata.

Antara perkara yang tidak pernah dimimpikan dan telah dijadikan kenyataan adalah menemubual Yusuf Islam dan Ariel Noah.

 Aku simpan jadi kenangan indah.

 #julypostchallenge #mimpi

CERITA MENANG

"Kau dapat cerahkan aku 
Kau dapat buatku berseri 
Kau dapat buatku mati 
Kau dapat hitamkan pelangi 
Tapi kudapat melangkah pergi 
Bila kau tipu aku di sini 
Kudapat melangkah pergi 
Kudapat itu"

TOPENG, Noah

Pernah berada dalam perhubungan yang beracun?

Sukar kan untuk keluar membebaskan diri?

Tidak semua mampu melakukannya kerana keinginan manusia itu sentiasa menagih untuk dipenuhi. 

Keinginan untuk disayangi, diberikan perhatian, diingati, dipandang tinggi.

Bisa yang meracuni hidup kita itu dipandang sebagai ujian yang perlu ditempuhi.

Kita terlupa yang bukan semua jalan kehidupan kita bersifat lurus dan terus, ada masanya kita perlu mengambil jalan yang bengkang-bengkok dan lebih jauh untuk ke destinasi.

Kita terlupa bukan semua perkara perlu diperjuangkan. 

'Choose your battles' kata mat saleh. 

Hubungan beracun ini langsung tidak ada kebaikan untuk kedua-dua pihak kerana hujungnya tiada siapa yang menang.

Kita hanya menang apabila kita keluar membebaskan diri daripada cengkamannya.

Ada yang mudah melakukannya namun ramai yang ambil masa bertahun-tahun untuk mengumpul kekuatan.

Sukar, ya, namun ia akan menjadi kemenangan yang paling indah.

Tuhan menjadikan kita manusia yang sentiasa menang.

 Percaya itu.

 #julypostchallenge #menang

Wednesday, February 19, 2014

Friendships. Betrayals. What???

In my years of building friendships, there were several times that I felt betrayed.

Yes. Betrayals.

I don't make friends easily because I am an introvert in a seemingly extroverted body. I rather be alone, spending some meaningful moments with my thoughts. That's why when I make friends, I want that friendship to last, so I have people I can count on (and I don't have to make new ones).

So when a friend betrays me, I will always feel lost. I will wonder why it has to happen. Why this person does this to me? It is easy to blame it to the other party, unfortunately, life is never that simple. When friends keep turning their backs on you, you start to wonder, maybe it's me, maybe I did something that warrants this to keep repeating.

Because of this, over the years, I learnt to look inside of me even more. I became more reflective. I became more reclusive, as far as making friends is concerned.

I don't mind not having many friends. I focus on making friends who will not turn their backs on me by spinning stories of my life and gladly share them with others.

I am still nice. I will still be generous with my smiles. But that is all one can ever get from me in the first few hundreds meetings.

If it's meant to be, it's meant to be. Yes. But I still have to protect my heart.

Sunday, February 9, 2014

Beginikah aku nanti?

Esok-esok pun akan beginikah perangaiku? Kerana aku ibu yang melahirkan dan bersusah-payah membesarkan aku boleh berkata sesuka hati kepada anakku, walaupun aku tahu itu pasti mengguris perasaannya. Kerana aku ibu yang melahirkan dan bersusah-payah membesarkan aku mempunyai hak yang nyata untuk menentukan dengan siapa dia patut bergaul, kerjaya apa yang dia patut lakukan? Kerana aku ibu yang melahirkan dan bersusah-payah membesarkan maka Allah tidak akan murka kepadaku walau apa pun yang aku katakan dan lakukan terhadap anakku? Kerana aku ibu yang melahirkan dan bersusah-payah membesarkan aku sudah semestinya dapat berlaku adil dan saksama dalam memberikan layanan yang sama rata kepada anak-anakku? Kerana aku ibu yang melahirkan dan bersusah-payah membesarkan aku boleh mengugut emosinya dengan berkata 'Kalau Mama menyusahkan, Ilham hantarlah Mama ke rumah orang-orang tua' apabila dia mula mengeluarkan hujah bagi mempertahankan dirinya yang untuk sekian kalinya disalahertikan? Beginikah aku nanti?