Tuesday, September 3, 2019

PerJALANan Yang Segar



Sudah lebih tiga bulan kafe di pejabat ditutup untuk renovasi.

Sudah lebih tiga bulan juga warga pejabat terpaksa menggunakan perkhidmatan penghantar makanan, selain menyediakan bekal dan keluar ke kawasan sekitar semasa waktu makan tengah hari.

Kafe tutup bukanlah satu masalah besar untuk aku kerana kebanyakan hari aku berpuasa dan membawa bekal sendiri dari rumah.

Cuma belakangan ini rasa bosan pula dan mahu mencuba sesuatu yang tidak pernah dibuat sebelum ini.

Bermula pada minggu lepas, aku mengambil keputusan untuk berjalan laju (briskwalk) ke kafetaria Institut Jantung Negara (IJN) yang terletak di seberang jalan.

Berjalan laju sambil melayan lagu, mengira langkah.

Gambar aku ambil daripada atas jejantas yang menyeberangi Jalan Tun Razak.

Seronok juga ya berjalan dari pejabat ke IJN, walaupun dalam cuaca panas.

Menurut apps MapMyWalk yang aku gunakan, aku berjaya berjalan sejauh lebih kurang 2km dengan lebih kurang 350 bakaran kalori dan 2775 langkah.

Berpeluh sudah tentu, namun ia tidaklah menjadi hal.

Terdetik pula di hati untuk berjalan ke Tasik Titiwangsa, buat satu pusingan dan kembali ke pejabat sebelum berakhirnya masa rehat.

Hmm..menarik idea ni.

Jom kita berjalan, meluaskan pandangan, bersembang dengan diri, merangka strategi untuk menjalani mimpi.


Jalani Mimpi
Noah

Ingatlah di kala engkau
sanggup melihat matahari
hangatnya masih terbawa
untuk melangkah hari ini

hapuskan segala keraguanmu
masa lalu takkan melemahkanmu
lupakan gelisahmu

teruslah kau mencari
waktu akan selalu mengobati
temukan semua yang terhenti
dalam hidupmu

tak perlu kau sesali
hidup kan membuatmu memahami
coba untuk tetap berdiri
jalani mimpi


Monday, August 5, 2019

Rancangan Untuk Tahun Ini: Berlari dan Berbengkel

Awal tahun ini, hati saya membuak-buak untuk mempelajari satu kemahiran baharu.

Tahun baharu, azam baharu punya cerita.

Apabila saya memberitahu suami yang saya mahu belajar menjahit, dia tenung muka saya.

Ha ha ha sesungguhnya dia hairan, isterinya yang kasar dan tidak berseni ini mahu belajar satu kemahiran yang memerlukan satu bentuk kesabaran yang tinggi.

Namun ya, saya memang teringin belajar menjahit dan berangan-angan satu hari saya mampu menjahit pakaian sendiri.

Banyak boleh jimat serasa saya dan apabila benar-benar mahir saya boleh mengajarkan kemahiran itu kepada orang lain.

Ha kan, boleh menjadi aliran pahala di situ.

Hari berganti, bulan bertukar, namun tiada tindakan positif daripada saya untuk merealisasikan hasrat itu.

Suatu hari sekeping kertas telah diselitkan ke pintu pagar rumah kami.

Iklan kursus-kursus kemahiran jangka pendek yang ditawarkan di Giat MARA yang terletak bersebelahan kawasan flat kami.

Dan ada kursus jangka pendek untuk menjahit!

Hati sudah berbunga dan saya sudah nekad untuk mendaftar.

Akhirnya, terlaksana juga hasrat untuk belajar menjahit untuk makcik berusia 44 tahun ini.

Tapi, syaratnya adalah perlu dilakukan sepenuh masa kerana kelasnya setiap hari dari pagi hingga petang.

Aduhai, kecewa rasanya hati.

Akhirnya keinginan untuk mengikuti kelas jahitan mati di situ sahaja.

Sebagai gantinya, saya mengajak suami dan anak untuk menyertai larian yang sering dianjurkan di Lembah Kelang ini.

Tujuannya bukan sahaja melakukan aktiviti sihat dan menghabiskan masa kualiti bersama, tetapi juga memberikan pendedahan kepada anak kami terhadap aktiviti luar bersama anggota masyarakat selain mengumpul sijil untuknya.

Mungkin juga berguna untuknya pada masa akan datang.

Saya sendiri menetapkan untuk tahun ini kami sekeluarga perlu berusaha memasuki lima larian.

Sehingga catatan ini ditulis, kami berjaya menyertai dua larian dan telah mendaftar untuk satu lagi larian pada September nanti.

Berbaki dua lagi larian, InsyaAllah.

Selain itu, saya juga berhasrat mengikuti bengkel dan acara luar sebagai satu usaha untuk memperbaiki diri dan meluaskan rangkaian.

Seawal tahun saya telah menyertai bengkel tentang diet Intermittent Fasting bersama Coach Zack.

Saya juga menjadi antara peserta setia untuk program kecergasan enam minggu yang dianjurkan oleh coach kecergasan saya, Coach Kakcik untuk beberapa siri.

Selain itu saya telah mendaftar untuk menyertai perkongsian mengenai kesihatan dan penyakit mental yang dianjurkan oleh sebuah dewan perniagaan baru-baru ini, namun tidak dapat menghadirinya kerana bertembung dengan satu acara larian.

Setakat hari ini, saya telah mendaftar untuk satu acara berkaitan penulisan dan satu lagi bengkel belajar bahasa isyarat.

Saya akan terus mencari acara dan bengkel yang boleh disertai untuk tahun ini bagi menambah pengetahuan, InsyaAllah.

#

Resepi Masakan Kegemaran: Sambal Ikan

Masakan pertama yang saya belajar daripada Mak adalah sambal ikan.

Masakan yang sangat ringkas, cepat dan mudah.

Kami pernah menerima tetamu dari Brunei yang menginap selama tiga hari di rumah.  Mereka sungguh-sungguh memuji sambal ikan yang Mak masak.

Katanya di Brunei tiada hidangan seperti itu, terkejut juga kami dibuatnya.

Bagi keluarga kami sambal ikan dan sambal ayam adalah hidangan yang wajib dimasak setiap minggu, sehingga 2-3 kali seminggu.

Hidangan pembuka selera yang amat mudah disediakan.

Asasnya adalah cili kering yang setelah digunting, direbus dan dikisar dengan bawang putih dan bawang merah.

Ikan yang biasa Mak gunakan adalah ikan kembung, sardin dan cencaru.

Saya paling suka sambal ikan sardin segar, tak tahu kenapa, pada saya rasanya lebih sedap.

Sambal digoreng di dalam kuali dan kebiasaannya minyak yang digunakan agak banyak. 
Bahan lain yang dimasukkan adalah asam keping dan sambal digoreng sehingga agak kehitaman.

Setelah itu, ikan yang telah digoreng digaulkan dengan sambal yang sudah siap dimasak, sudah tentulah sebelum itu Mak memasukkan garam dan ajinomoto.

Hari ini apabila saya memasak sambal ikan atau ayam, saya akan kisar juga serai selain memasukkan sebatang dua serai yang dititik semasa memasak cili itu.

Selain dimakan dengan nasi, saya suka juga memakan sambal ikan atau ayam ini dengan roti atau dibuat cicah cucur ikan bilis ataupun cucur bawang.

Atas kesedaran, saya tidak lagi menggunakan ajinomoto atau perisa di dalam sambal saya, jadi rasanya mungkin tidak sesedap sambal yang Mak sediakan.

#augustblogpostchallenge

Apa Yang Saya Lakukan Ketika Marah: Tumbuk Dinding?

Orang kata anak ketiga memegang unsur api dan disebabkan inilah mereka biasanya panas baran.

Saya tidak pasti sejauh mana kebenarannya, tetapi ya saya merupakan anak ketiga dan seorang yang panas baran.

Sifat kepala angin saya warisi daripada ayah yang memang digeruni oleh kami adik-beradik semasa kecil.

Semasa sedang membesar, apabila saya marah, jeritan dan hentakan kaki menjadi identiti, namun disebabkan saya juga seorang yang bersifat 'timid' dan introvert, maka ekspresi marah itu tidaklah teruk mana sebenarnya.

Setelah dewasa, luahan rasa marah dilakukan dengan membaling barang-barang yang ada berdekatan dengan saya, jika tiada saya menumbuk meja atau dinding.

Apa saya rasa setelah itu? Lega dan sakit ha ha ha.

Ketika saya aktif melakukan senaman di gim, rasa marah saya simpan dan diluahkan dengan melakukan senaman berjam-jam lamanya.  Saya menari, berlari di atas mesin treadmill, mengayuh basikal statik dan mengangkat beban sehinggalah rasa marah itu reda dan saya berasa gembira.

Sikap panas baran ini saya berjaya jinakkan sedikit ketika bertugas mengajar tuisyen kepada anak-anak sekolah rendah dan menengah sekitar tahun 1998 sehinggalah tahun 2010.

Ya, saya bersyukur dengan pengalaman ini kerana saya belajar mengawal amarah dan mendidik kesabaran dalam jiwa.

Kalaupun saya marah, paling ekstrem saya meninggikan suara dengan muka bengis sehinggakan ada anak murid yang menangis kerana terkejut.

Setelah menjadi isteri, api amarah di jiwa sepatutnya semakin terkawal kan? Oh tidak, kerana ia seolah-olah mengganas semula.

Apa sahaja yang saya tidak buat apabila marahkan suami, cuma saya tidak akan ceritakanlah di sini.
Anak saya terang-terang mengatakan saya mak singa kerana terlalu garang, selalu sahaja pertanyaan 'Kenapa Mama marah-marah ni?' keluar daripada mulutnya.

Hari ini apabila saya marah, saya menggenggam kedua-dua belah tangan, memejamkan mata dan menggetap gigi sekuat-kuatnya.

Itu marah tahap satu.

Ekspresi marah tahap dua saya adalah menumbuk meja atau dinding atau menjerit 'on top of my lungs'.

Saya tidak tahu apa ekspresi marah tahap tiga kerana belum pernah terjadi dan saya berdoa dengan sepenuhnya tidak akan terjadi.

Ya. Saya maklum perlu belajar menguruskan kemarahan dengan cara yang lebih baik, saya sedang berusaha ke arah itu.

#augustblogpostchallenge

Sunday, August 4, 2019

Channel Youtube yang saya suka


Semasa ia dilancarkan, Youtube menjadi satu fenomena baharu yang ‘took the world by storm’.  Pengaruh dan kesan laman web pengehosan video ini mencapah dan merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia seluruh dunia.

Anak saya yang berusia 10 tahun tahu mengenai pelbagai nama misteri Segitiga Bermuda bukanlah daripada saya atau guru-gurunya tetapi melalui video yang ditonton di Youtube.

Saya sendiri menonton Youtube bagi mendapatkan motivasi selain idea.

Body Coach adalah salah satu channel yang saya ikuti memandangkan saya sedang dalam proses transformasi tubuh badan daripada gemuk kepada sihat.

Channel Body Coach ini menyediakan banyak video senaman yang boleh dilakukan di mana sahaja dan oleh sesiapa sahaja, daripada yang baru mengorak langkah dalam perihal senaman kepada yang sudah mahir.

Banyak rutin senaman harian saya ambil dari perkongsian Coach Joe Wicks ini.

Selain Body Coach, saya tidak mengikuti mana-mana channel Youtube yang spesifik cumanya apabila saya memerlukan motivasi untuk semangat yang semakin lemau, tidak kiralah dalam proses mengurangkan berat badan atau kehidupan secara amnya, saya akan mencari video-video transformasi orang lain untuk ditonton, selain video episod-episod dari rancangan komedi ‘Friends’, ‘Big Bang Theory’ dan ‘Whose Line Is It Anyway’ yang dimuatnaik oleh para peminat rancangan-rancangan ini.

Bagi mereka yang cuba mengurangkan berat badan, stres adalah satu perkara yang berbahaya bukan sahaja kepada kesihatan rohaniah tetapi juga boleh mempengaruhi cepat atau lambat penurunan berat badan.

Video-video yang dimuatnaik di dalam platform Youtube ini boleh melegakan stres yang saya alami dari semasa ke semasa.


#augustblogpostchallenge

Filem Yang Memberikan Kebahagiaan


Saya belajar memahami Bahasa Inggeris dengan menonton rancangan TV luar negara seperti BJ and The Bear, Remington Steel, Hart To Hart, The A-Team, High Chaparal, Little House On The Prairie dan Manimal antara lainnya.

Disebabkan program yang saya minati seperti yang disebutkan di atas kebanyakannya ditayangkan lewat malam, sering jugalah saya tidak cukup tidur, namun pada waktu itu, saya bebas untuk tidur jam berapa pun, asalkan esoknya saya boleh bangun untuk ke sekolah.

Selain program luar negara, saya juga teruja menonton cerita-cerita wayang yang disiarkan di kaca televisyen ketika itu, cerita-cerita P.Ramlee jangan ceritalah, memang sentiasa ditunggu-tunggu siarannya.

Minat saya ini juga menyebabkan saya adalah orang pertama yang akan membuka suratkhabar untuk melihat senarai rancangan TV pada hari itu.

Boleh dikatakan secara tidak langsung, keterujaan terhadap program dan drama televisyen menyuburkan minat saya terhadap bacaan.

Kesukaan menonton ini terus subur sehingga dewasa.

Masih lagi gemar menonton drama dan program luar negara, di samping produksi tempatan, ditambah dengan genre baharu iaitu video muzik dan juga filem.

Tidak seperti kebanyakan orang lain, saya menonton filem untuk suka-suka, merehatkan minda dan hiburan semata-mata, tidak terfikir langsung untuk mengkaji dan mendalami mesej yang cuba disampaikan.

Disebabkan ini saya lebih suka menonton filem aksi, komedi, thriller dan sekali-sekala filem seram.
Tidak juga seperti kebanyakan orang lain, saya boleh sahaja pergi menonton filem di panggung bersendirian, tanpa perlu ada peneman, atas sebab yang sama: bagi merehatkan minda.

Saya sendiri tidak ingat berapa banyak filem yang sudah ditonton sehingga kini, cuma hari ini saya ingin bercerita tentang salah sebuah filem yang memberikan kebahagiaan yang indah kepada saya iaitu ‘School of Rock’.

Filem lakonan Jack Black ini mengisahkan tentang seorang penganggur yang meminati muzik genre rock menyamar sebagai kawan baiknya untuk bekerja sebagai guru gantian di sebuah sekolah.
Nah, sebut sahaja nama Jack Black, umum maklum yang beliau dikenali sebagai pelakon komedi yang ekspresif, selain berkebolehan bermain alat muzik dan menyanyi.

Kenapa saya bahagia menonton filem ini? Sebab bagi saya, semua rencah ada bagi menyedapkan ceritanya: komedi, muzik dan motivasi.

Berkali-kali sudah saya tonton School of Rock ini dan berkali-kali juga saya tertawa tidak kering gusi.

Babak yang menjadi kegemaran adalah apabila Dewey Finn lakonan Black pertama kali mengajarkan chord lagu rock kepada pelajar-pelajarnya yang lebih mahir dengan muzik klasik.

Filem ‘feel good’ tahun 2003 ini berjaya mengaut sebanyak $131 juta seluruh dunia, dengan bajet pembikinan sebanyak $35 juta.

Jack Black juga mendapat pencalonan untuk Anugerah Golden Globe bagi kategori Aktor Terbaik – Komedi atau Muzikal melalui filem ini.

Biarpun beliau kalah di tangan pelakon komedi veteran Bill Murray, impak yang dicipta daripada watak Mr S terutama terhadap saya (yang pasti pecah perut setiap kali menontonnya) adalah lebih berharga dan berkekalan.

Saya seorang yang ‘simple’, saya sukakan filem yang juga ‘simple’. Being simple gives me utmost pleasure.

#augustblogpostchallenge 

Wednesday, July 31, 2019

MATAHARI

"Matahari dah tinggi tu, bangunlah!"
Dan kau pun bingkas bangun dari katil.
Melihat jam di dinding, baru jam 7 pagi.
"Tinggi apanya Mak, matahari pun segan nak keluar hujan-hujan ni."
"Anak dara, elok sangatlah tidur sampai tengah hari," balas emak.

Emak kita kan? Adalah sebabnya dia tidak mahu kita terlajak tidur sehingga matahari tegak di kepala.

Jujurnya ketika bujang, aku bukanlah 'morning person'.  Tidur lewat, bangun subuh sekadarnya, tidur kembali sehingga ke tengah hari.

Itupun kalau keadaan bilik terus-terusan dingin, memang biasanya terlajak sehingga ke petang.

Sudah menjadi ibu, tiada lagi 'luxury' untuk bangun sehingga matahari tegak di kepala walaupun tidur lewat.

Dan sesudah menjadi ibu juga aku mengerti mengapa emak mahu anak-anaknya bangun seawal mungkin.

#julypostingschallenge #july2019entries #matahari

JIWA

Jiwa yang tenang adalah jiwa yang reda.
Klise, namun itulah yang sebaik dan sebetulnya.

Dan dengan jiwa yang reda itulah, manusia akan dapat menggapai apa yang dicita, walau dalam apa keadaan sekalipun diri mereka itu.

Aku pernah menemubual seorang anak muda OKU yang dilahirkan tanpa kaki.

Menurut ibu beliau, sedari kecil, anak itu memang sentiasa ceria dan suka melakukan aktiviti-aktiviti lasak.

Orang yang melihatnya pasti tertanya-tanya, tidak takutkah dia dengan keadaannya yang hanya berjalan menggunakan kedua belah tangan sahaja?

Anak muda itu mengatakan walaupun awalnya beliau sedih dengan keadaan diri yang tidak sempurna berbanding rakan-rakan lain, layanan dan sokongan yang diberikan oleh ibu bapa dan keluarga memudahkan beliau menerima diri sendiri seadanya.

Beliau menganggap dirinya seperti kawan-kawan lain, boleh melakukan apa sahaja kehendak di hati.

Anak muda ini berjaya menamatkan pengajian dalam bidang diploma dan berjaya merealisasikan impiannya untuk berlakon.

Katanya, apa yang dia mahu beliau akan buat, penuh fokus tanpa rasa sekatan, tanpa rasa kekurangan.

#julypostingschallenge #july2019entries #jiwa

SIBUK

Percayalah apabila kita mengajak kawan-kawan kita berjumpa dan jawapan mereka adalah "aku sibuk", mereka sebenarnya mengatakan salah satu yang berikut atau mungkin beberapa perkara yang berikut:

1.Dia mahu berjumpa tapi tengah kering.

2.Dia mahu berjumpa tetapi suami tidak suka dia berjumpa kau.

3.Dia tidak suka keluar selain pergi dan balik kerja.

4.Dia takut kau bercerita perihal MLM, mengadu pasal teman lelaki/suami tak habis-habis, asyik bercerita pasal keluarga dan anak-anak kau, takut kau jual insurans.

5.Dia tidak suka kau sebenarnya.

6.Dia seorang yang pemalas.

7.Dia takut kau minta dia jadi penjamin loan.

8.Dia baru bercerai, berpisah, berhenti kerja dan tidak mahu berjumpa sesiapa.

9. Esok dia nak ke luar negara.

10.Dia sememangnya sibuk dengan kerja dan keluarga.

#julypostingschallenge #july2019entries #sibuk

SUSUN

Kali ini mahu bercerita sendiri mengenai Encik Mat Nasri, ayahanda tercinta.

Ayah seorang yang sangat kreatif dalam kerja tangan.  Boleh melukis, menjahit, memasak dan bertukang.

Tangan berseni orang kata.

Susun atur perabot di rumah sentiasa bertukar, kadangkala hampir setiap bulan kerana Ayah agak cepat bosan dengan latar yang sama.

Segala peralatan pertukangannya mempunyai tempat khas yang disusun dengan cermat.

Pantangnya adalah apabila barang yang digunakan tidak diletak di tempat yang disediakan.

Sehingga ke hari ini, setiap kali pulang ke rumah, akan ada susunan baharu sama ada perabot di dalam rumah atau yang di luar rumah.

Sudah agak lama aku tidak pulang, apa pula susunan perabot yang berubah kali ini?

#julypostingschallenge #july2019entries #susun